SELAMAT DATANG KE LAMAN WEB RASMI SJK(C)SERDANG BARU 2 ☆★ WELCOME TO THE OFFICIAL WEBSITE OF SJK(C) SERDANG BARU 2

VISI SEKOLAH:SJKC SERDANG BARU 2 AKAN MELAHIRKAN GENERASI YANG BERKUALITI DAN CEMERLANG☆★

12 MEI 2009 : TAHNIAH KEPADA SEKOLAH KERANA MENJADI NAIB JOHAN DALAM PERTANDINGAN DEKLAMASI SAJAK PERINGKAT NEGERI SELANGOR - PESERTA:LIEW QIAO ER,HOH WAN QI,PRISCILLIA CHEN YING XIN DAN TAN SHI EN

12.4.09

SEJARAH SEKOLAH

SEJARAH SEKOLAH

SJK(C) Serdang Baru 2 ditubuhkan pada tahun 1967. Nama asal sekolah ini ialah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Serdang Baru. (Sekolah Rendah Cina yang tunggal di kampung Baru Serdang yang ditubuhkan pada tahun 1951). Oleh kerana bilangan murid semakin meningkat sehingga hampir 3000 orang, ia telah menimbulkan masalah dari segi pentadbiran dan kawalan. Justeru itu, Lembaga Pengurus Sekolah telah mengambil keputusan untuk memohon membahagikan sekolah supaya menjadi 2 sekolah. Sekolah asal dinamakan SJK(C) Serdang Baru 1, manakala sekolah baru dinamakan SJK(C) Serdang Baru 2. Walaupun kedua-dua sekolah 1 dan sekolah 2 mempunyai pentadbiran yang berlainan, mereka masih menggunakan bangunan dan kemudahan sekolah yang sama, kelas-kelas dibahagikan kepada sesi pagi dan petang.

Pada penghujung tahun 70an, bilangan murid kedua-dua sekolah semakin bertambah. Keadaan ini telah menimbulkan keperluan untuk mendapat tapak baru untuk membina bangunan sekolah baru. Pada tahun 1981, Kerajaan telah meluluskan sebuah tapak seluas 6 ekar di kawasan Serdang Jaya untuk membina bangunan sekolah baru. Kos pembinaan berjumlah RM950,000 adalah dibiayai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Bangunan sekolah baru telah siap dibina pada penghujung 1986. Pada 20 April 1987, SJK(C) Serdang Baru 2 dengan rasminya berpindah dari alamat lama ke bangunan sekolah baru. Bangunan baru telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ling Liong Sik, Menteri Pengangkutan Malaysia. (kini Tun Dr. Ling Liong Sik). Dengan adanya bangunan baru ini, murid-murid berpeluang belajar dalam satu alam sekeliling yang baru, ceria dan selesa.

Pada 1989, Lembaga Pengelola Sekolah dan PIBG berjaya merancang untuk membina sebuah dewan serbaguna sebagai tempat untuk perhimpunan serta menjalankan aktiviti-aktiviti kokurikulum untuk murid. Pelbagai aktiviti telah dianjurkan untuk mengutip derma bagi membiayai kos pembinaan dewan tersebut. Pada tahun 1991, dewan sekolah dan blok pentadbiran telah siap dibina dengan kos pembinaan sebanyak RM1.1 juta.

Pada tahun 1993, Kementerian Pelajaran meluluskan pembinaan bangunan sekolah Fasa 2. Satu blok bangunan bilik darjah 3 tingkat yang mengandungi 12 bilik darjah telah siap dibina pada tahun 1995.

Pada tahun 1999, demi menghadapi zaman kemajuan IT menjelang alaf baru, Lembaga Pengelola dan PIBG sekolah ini telah membina sebuah Bangunan IT setinggi 3 tingkat yang mengandungi 3 makmal komputer, pusat sumber dan perpustakaan.

Pembangunan SJK(C) Serdang Baru 2 diteruskan mengikut perkembangan sosio ekonomi dan pertambahan bilangan penduduk di sekitar kawasan sekolah. Pada 2005, oleh kerana bilangan murid semakin meningkat dan masalah kekurangan bilik darjah semakin ketara, PIBG dan Lembaga Pengelola Sekolah telah membantu sekolah ini membina sebuah bangunan tambahan yang mengandungi 12 bilik darjah.

Pada 2007 pula, demi memajukan program sukan serta menambah kemudahan fizikal di sekolah ini, satu projek yang dinamakan Bangunan Dewan Sukan dan Auditorium dimulakan. PIBG dan Lembaga Pengelola Sekolah sekali lagi berjaya mengadakan aktiviti kutipan derma bagi membiayai projek yang bernilai RM 1.3 juta tersebut. Pada awal 2008, sebuah dewan yang mengandungi 2 gelanggang bola keranjang, dewan auditorium, setor sukan, bilik-bilik khas dan tandas telah siap dibina dan dibuka untuk penggunaan warga sekolah ini.

Kini, SJK(C) Serdang Baru 2 merupakan sebuah sekolah gred A yang mempunyai bilangan murid seramai 3053 orang dan bilangan guru seramai 115 orang.

Perlu dinyatakan di sini bahawa sekolah ini terhutang budi kepada pihak PIBG, Lembaga Pengelola Sekolah, ibu bapa serta masyarakat setempat atas sumbangan, usaha dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan projek pembangunan sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 
blog template by dynabook.com : header image by Dynabook's Jessie