SELAMAT DATANG KE LAMAN WEB RASMI SJK(C)SERDANG BARU 2 ☆★ WELCOME TO THE OFFICIAL WEBSITE OF SJK(C) SERDANG BARU 2

VISI SEKOLAH:SJKC SERDANG BARU 2 AKAN MELAHIRKAN GENERASI YANG BERKUALITI DAN CEMERLANG☆★

12 MEI 2009 : TAHNIAH KEPADA SEKOLAH KERANA MENJADI NAIB JOHAN DALAM PERTANDINGAN DEKLAMASI SAJAK PERINGKAT NEGERI SELANGOR - PESERTA:LIEW QIAO ER,HOH WAN QI,PRISCILLIA CHEN YING XIN DAN TAN SHI EN

19.4.09

KIA2M

KIA2M ini merupakan satu program yang dirancang khusus untuk membantu murid tahun satu menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu. KIA2M ini akan dijalankan secara bergilir-gilir oleh guru yang ditetapkan mengikut jadual. Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) bertujuan untuk membantu murid yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu pada tahun satu. Kumpulan murid ini adalah terdiri daripada mereka yang lambat atau belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Mereka ini bukan hanya terdiri daripada murid pemulihan khas tetapi juga dari kalangan murid yang hanya perlukan pemulihan dalam kelas. Oleh itu strategi pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan perlulah sesuai dengan keperluan untuk membantu murid ini menguasai kemahiran asas ini dengan seberapa segera yang boleh.

Fokus Strategi Pengajaran dan Pembelajaran
Strategi pengajaran dan pembelajaran Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) melibatkan beberapa langkah berikut:
1.percalonan
2.ujian penapisan
3.perancangan
4.pengajaran
5.penilaian
6.tindakan susulan

Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M)
Setelah melalui proses pencalonan dan ujian tapisan kemasukan, maka guru-guru yang telah dipilih untuk mengendalikan kelas ini perlulah merancang proses pengajaran dan pembelajaran yang sesuai berdasarkan modul pengajaran yang telah disediakan. Berdasarkan modul berkenaan juga guru-guru boleh menyesuaikan aktiviti dan latihan yang dicadangkan mengikut tahap keupayaan murid masing-masing. Strategi berikut boleh digunakan mengikut kesesuaian.

(a)Berpusatkan Guru
Guru merancang dan menjalankan tugas secara individu dan murid akan belajar berdasarkan apa yang disampaikan dan diarahkan oleh guru sahaja.

(b)Berpusatkan Murid
Murid diberi galakan untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang dirancangkan sama ada secara individu, kumpulan kecil ataupun kelas.

(c)Berpusatkan Bahan
Bahan-bahan pembelajaran yang diperlukan telah disusun, sesuai dengan perancangan yang dibuat. Murid diberi penerangan yang jelas tentang keperluan aktiviti yang akan dijalankan.

Pendekatan
Dalam pelaksanaan Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M), pendekatan secara kelas, kumpulan dan juga individu perlu digunakan mengikut kesesuaian dari segi kebolehan murid, aktiviti yang dirancang dan juga kemahiran yang hendak diajar.

(a)Pendekatan secara kelas
Pendekatan secara kelas perlu juga dijalankan supaya murid dapat melibatkan diri dan meningkatkan keyakinan diri dalam aktiviti berkumpulan yang lebih besar. Aktiviti ini lebih sesuai dijalankan di awal dan di akhir waktu belajar.

(b)Pendekatan secara berkumpulan
Konsep pengajaran dan pembelajaran berkumpulan berasaskan kepada perubahan strategi pengajaran yang berpusatkan guru kepada strategi yang berpusatkan murid. Kumpulan kecil yang ahlinya terdiri daripada murid yang menghadapi masalah yang sama atau hampir sama dibentuk. Guru menjalankan pengajaran dengan menggunakan modul pengajaran yang disediakan.

(c)Pendekatan secara individu
Guru menumpukan perhatian kepada murid secara individu bagi membantu membimbing untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Selain itu bantuan daripada rakan sebaya juga boleh digunakan jika perlu.

Teknik
Pengendalian suatu perancangan untuk menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk mencapai sesuatu objektif. Tujuan menggunakan pelbagai teknik adalah untuk menarik minat, mengekalkan perhatian serta membangkitkan rasa ingin tahu murid untuk mencapai objektif pengajaran guru. Antara teknik pengajaran bahasa yang dicadangkan ialah:
(a)teknik bercerita
(b)teknik latih tubi
(c)teknik tunjuk cara
(d)teknik bersoal jawab
(e)teknik main peranan
(f)teknik menyanyi
(g)teknik lakonan
(h)teknik kuiz

Penguasaan kemahiran asas membaca dan menulis akan lebih berkesan jika murid mendapat peluang yang luas dan pelbagai untuk membolehkannya memahami sesuatu konsep. Oleh itu adalah menjadi tugas dan tanggungjawab para guru untuk merancang pelbagai pendekatan, teknik, media pengajaran dan aktiviti agar murid dapat memahami apa yng disampaikan dengan lebih baik.
 
blog template by dynabook.com : header image by Dynabook's Jessie